11 Langkah Mudah Untuk Mengetahui Bakat Sebenar Anda

Share lah dengan kengkawan....

 

Saya ade bakat? Betul ke ini bakat saya? Macamana jika kehidupan sebenar tak memerlukan bakat saya? Persoalan sebegini mungkin biasa dialami oleh semua manusia.

Jika anda adalah salah seorang seperti itu, tiba masanya anda mengetahui kehebatan diri anda sebenarnya. Ini mungkin proses yang agak sukar, tetapi jika tidak diperbaiki dari awal, masalah dalam diri sendiri akan menjadi semakin rumit. Anda boleh hilang hala tuju hidup anda dan anda tidak tahu apa yang perlu anda lakukan untuk diri sendiri.

Untuk membantu anda, ikuti langkah-langkah mudah berikut.

 

Langkah 1: Ingat semula impian anda

Perkara pertama yang anda perlu lakukan adalah ingat semula impian atau cita-cita anda. Mungkin impian atau cita-cita anda bermula dari anda kecil lagi. Kadang kala cita-cita ini berubah apabila anda meningkat dewasa.

Tuliskan setiap satu persatu cita-cita yang pernah anda inginkan dari waktu anda kecil, di alam persekolahan, di kolej, di universiti dan juga sekarang. Tuliskan sekarang.

 

Langkah 2: Asingkan antara ‘untuk dimiliki’ dan ‘untuk menjadi’

Sekarang anda telah tulis semua  impian atau cita-cita anda. Apa yang anda perlu buat seterusnya adalah mengasingkan impian anda tersebut kepada dua kumpulan. Tetapkan samada impian atau cita-cita anda itu adalah

1. Impian untuk dimiliki: iaitu impian hanya untuk memiliki sesuatu yang mungkin anda belum dapati sekarang. Sebagai contoh “Impian memiliki Rumah Besar, Impian Bekerja di syarikat ABC”.

atau…

2. Impian untuk menjadi: iaitu impian anda untuk menjadi sesuatu yang mempunyai nilai dalam diri anda. Sebagai contoh ” Impian menjadi seorang guru, Impian menjadi seorang doktor”

Tulis impian untuk menjadi sahaja kerana impian ini yang akan menjadi fokus kita…

 

Langkah 3: Apakah yang menimbulkan reaksi sebenar anda?

Masihkah anda ingat apabila anda melihat seseorang menjadi sangat bersemangat dan teruja untuk membuat sesuatu? Atau anda pernah alami sesuatu yang sangat teruja apabila anda dapat mencapai sesuatu? Apabila anda melihat seseorang yang bersemangat sebegitu, adakah anda turut merasakan anda juga perlu menjadi sepertinya?

Jika jawapannya ialah “YA”, tuliskan impian ‘untuk menjadi’ tersebut.

Langkah 4: Adakah anda seronok melakukan nya?

Sekarang, tuliskan aktiviti atau hobi yang anda sangat seronok pernah anda lakukan. Apakah yang anda sangat seronok lakukan semasa anda kecil, semasa anda remaja atau dewasa? Apa yang anda sangat seronok melakukannya sekarang?

 

Langkah 5: Nilaikan setiap reaksi emosi

Lihat apa yang anda telah tulis setakat ini. Fikirkan dengan mendalam, impian yang mana benar-benar memberikan reaksi emosi yang mendalam terhadap diri anda. Yang penting reaksi teruja dan bersemangat seperti di langkah 3 tadi.

Sekarang, bayangkan diri anda seperti anda telah mencapai impian anda. Apa yang akan anda lakukan sekiranya anda benar-benar sudah menjadi impian anda? Bagaimana perasaan anda sekarang? Teruja? Seronok?

Perhatikan betapa kuatnya reaksi emosi anda ketika menjadi impian anda. Cari kekuatan emosi teruja atau bersemangat itu dalam setiap bayangan anda. Cuba berikan markah antara 1 hingga 10 kepada setiap perasaan teruja atau bersemangat itu.

 

Langkah 6: Buang apa yang anda tidak perlu

Sekarang pangkah impian ‘ untuk menjadi’ tadi yang anda telah letakkan markah paling rendah dari langkah 5 tadi. Ini adalah impian-impian yang anda boleh lupakan. Kerana markah yang rendah menggambarkan impian-impian ini hanya sementara dan tidak banyak memberi kesan kepada diri anda.

 

Langkah 7: Kumpulkan impian bersama

Sekarang, anda ada senarai impian yang sebenar untuk diri anda. Mungkin senarai ini bercampur-campur dan tidak sekata. Lihat pada senarai tersebut dan cuba kumpulkan impian yang mana anda boleh dimasukkan ke dalam kumpulan yang sama. Impian yang mana saling berkaitan dengan impian yang lain?

 

Langkah 8: Namakan kumpulan impian

Lihat kepada kumpulan yang telah anda buat dan namakan setiap kumpulan impian tersebut. Letakkan nama yang berkaitan dengan nilai dan kemahiran yang sesuai dengan kumpulan tersebut. Nilai dan kemahiran inilah yang menghubungkan impian-impian di dalam kumpulan tersebut.

Langkah 9: Hubungkan kumpulan impian

Anda sudah hampir dengan bakat sebenar anda. Anda hanya perlu mencari apakah yang menghubungkan kumpulan-kumpulan impian anda itu. Tuliskan nama-nama kumpulan tadi kepada satu senarai baru. Fikirkan bagaimana satu kumpulan impian boleh menghubung atau menbantu kumpulan impian yang lain. Anda akan mendapati akan ada hubungan di antara kumpulan impian dengan kumpulan impian yang lain. Apa yang menghubungkan kumpulan ini adalah nilai dan bakat anda.

Langkah 10: Cari perkaitan bakat anda

Fikirkan semula impian anda dan bakat anda tadi. Bidang apakah impian dan bakat anda yang anda fikirkan? Apakah pekerjaan dan aktiviti yang perlu ada dengan impian anda? Cuba senaraikan nama profession atau pekerjaan tersebut. Senaraikan juga aktiviti yang akan melibatkan pekerjaan impian anda. Lebih banyak idea anda dapat senaraikan, lebih mendalam anda dengan impian dan bakat anda.

 

Langkah 11: Cari tujuan hidup anda

Sekarang anda memiliki senarai potensi impian dan bakat sebenar anda. Nilaikan setiap impian dan letakkan markah di antara 1 hingga 10 setiap impian dan bakat tersebut. 1 adalah yang paling rendah dan 10 yang paling bermakna pada diri anda.

Anda sekarang sudah jelas dengan matlamat hidup anda berdasarkan impian, bakat dan minat anda. Anda akan lebih yakin untuk mencapai impian anda. Kerana anda telah mengetahu bakat sebenar anda dan kekuatan sebenar dalam diri anda. Sekarang anda hanya perlu mencari cara selanjutnya untuk mencapai impian anda. Selamat berjaya!

 

Kata Cik Meow Sentap…

Mungkin ade yang cakap “aku tak de bakat lah” “apa yang aku nak tak sesuai dengan bakat aku”. Macam-macam alasan je korang nih.

Kalau yang rase diri sendiri takde bakat tuh, ape susah. Boleh belajar dari sekarang. Pergi jumpe cikgu yang berkaitan dengan impian korang tu waalaupun korang takde bakat tu.

Kalau korang berusaha bersungguh-sungguh, mesti korang akan berjaya!


Share lah dengan kengkawan....

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *